MAC 2025

Premier Sarawak Hadiri Majlis Berbuka Puasa Anjuran Kumpulan Yayasan Sarawak


KUCHING, 12 Mac – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg menghadiri Majlis Berbuka Puasa anjuran Kumpulan Yayasan Sarawak yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam ini.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyaksikan penyerahan zakat perniagaan oleh Kumpulan Yayasan Sarawak sebagai sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat kumpulan itu.

Sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat, Premier Sarawak turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 302 penerima yang terdiri daripada anak-anak serta pelajar Yayasan Sarawak.

Selepas berbuka puasa, beliau bersama para hadirin menunaikan solat fardu Maghrib, Isyak, serta solat sunat Tarawih secara berjemaah.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Abu Bakar Marzuki; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi; Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr. Juanda Jaya; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol; dan Pengarah Yayasan Sarawak, Mersal Abang Rosli.